Timbalan Ketua Pendaftar

Puan Azizah Binti Mahamud
Timbalan Ketua Pendaftar
|
PROFIL
Y.Berusaha Puan Azizah binti Mahmud dilahirkan pada 07 Julai 1959 di Alor Setar, Kedah. Beliau menerima pendidikan awal dan menengah di Alor Setar dan telah dinobatkan sebagai penuntut terbaik dalam peperiksaan M.C.E. bagi Sekolah Menengah Sultanah Asma dan kedua terbaik bagi seluruh negeri Kedah di mana telah dikurniakan pingat perak Sultan Kedah. Kemudiannya, beliau meneruskan pengajian di dalam jurusan undang-undang di Universiti Malaya pada tahun 1980. Beliau telah mendapat Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dengan kepujian pada tahun 1984.
Puan Azizah telah memulakan kerjayanya di dalam perkhidmatan perundangan dan kehakiman sebagai Pegawai Undang-Undang di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada bulan Julai 1984 dan seterusnya dilantik sebagai Majistret di Mahkamah Majistret Batu Gajah, Perak dan juga Majistret di Mahkamah Majistret Kulim, Kedah pada tahun 1987 hingga 1988. Beliau dilantik juga sebagai Majistret di Mahkamah Majistret Alor Setar, Kedah pada bulan Ogos 1987 hingga Jun 1988. Dinaikkan pangkat sebagai Penolong Kanan Pendaftar, Mahkamah Tinggi Alor Setar, Kedah pada tahun 1988 hingga 1992 dan pada tahun 1992 ditukarkan ke Mahkamah Agung, Kuala Lumpur (kini Mahkamah Persekutuan Malaysia) sebagai Pegawai Undang-Undang. Pada 16 Julai 1992 beliau telah dilantik sebagai Hakim Mahkamah Sesyen Perlis dan berkhidmat di Mahkamah Sesyen Perlis sehingga beliau dilantik sebagai Pegawai Khas/Pegawai Penyelidik di Mahkamah Tinggi Ipoh pada tahun 1994 hingga 1997, dan pada tahun 1997 hingga 1999 beliau ditukarkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Pada 16 November 1999 Puan Azizah telah bertukar ke Jabatan Peguam Negara apabila beliau dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Tribunal di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna. Beliau telah kembali bertugas di Mahkamah pada tahun 2001 dan memegang jawatan Hakim Mahkamah Sesyen di Mahkamah Sesyen Alor Setar dan Mahkamah Kuala Lumpur seterusnya sebagai Hakim Mahkamah Sesyen Sungai Petani pada tahun 2004 sehingga tahun 2008. Beliau telah dinaikkan pangkat Gred Utama ‘C’ dan dilantik sebagai Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu/Pengarah Mahkamah Negeri Terengganu pada tahun 2009. Seterusnya beliau telah ditukarkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur/Pengarah Mahkamah Kuala Lumpur pada bulan September tahun 2009 hingga Mac 2012. Pada 15 Mac 2012 beliau sekali lagi telah dinaikkan pangkat ke Gred Utama ‘A’ dan memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Pendaftar di Mahkamah Persekutuan Malaysia, Putrajaya. Y.Berusaha Puan Azizah telah mendirikan rumahtangga dengan Allahyarham Ahmad bin Saad (meninggal dunia pada 12/3/1992) dan dikurniakan 3 orang cahaya mata perempuan.
ALAMAT
Timbalan Ketua Pendaftar, Pejabat Ketua Pendaftar, Mahkamah Persekutuan Malaysia Aras 2, Istana Kehakiman, Presint 3, 62056 PUTRAJAYA |
Dikemaskini pada : Mon, 21/03/2011 - 4:10pm — Anonymous
11039 reads |














