Aktiviti Jun 2018

Tarikh : 6.6.2018

Jualan Kad Ucapan Hari Raya & Sampul Duit

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,

 

YBhg Yang Arif/Dato/Datin/ Tuan/Puan Ahli KESMA 2018/2019 dan Warga Mahkamah Kuala Lumpur.
Salam Ramadhan 1439H/2018M dari KESMA 2018/2019

 

Bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi, KESMA dengan ini berbesar hati menawarkan Yang Arif/Dato/Datin/Tuan/Puan Kad Ucapan Hari Raya dan Sampul Duit Raya keluaran KESMA untuk jualan kepada semua. Walaupun kad ucapan hari raya telah semakin dilupakan, marilah kita sama-sama menyemarakkan kembali zaman kegemilangan bertukar-tukar kad ucapan hari raya dan juga sampul duit raya antara kita terutamanya dalam kalangan warga Mahkamah Kuala Lumpur. Semoga kad yang dihantar kelak akan merapatkan dan mengeratkan hubungan silaturahim antara si pemberi dan si penerima.

 


Untuk makluman Yang Arif/Dato/Datin/Tuan/Puan, kad ucapan hari raya Aidilfitri dijual dengan harga RM3.00 sekeping dengan tambahan sebanyak RM0.50 bagi cetakan nama. Sampul duit raya juga dijual dengan harga RM5 sepeket (10 keping) dan harga promosi RM13 untuk 3 paket. Stok adalah terhad. Dapatkan segera sebelum kehabisan.

Sekiranya Yang Arif/Dato/Datin/Tuan/Puan berminat, boleh hubungi Biro Ekonomi KESMA atau membuat panggilan ke no. sambungan 4823.

 

Duit dan kad raya tradisi aidilfitri,

Menjadi amalan zaman berzaman,
Sambil menyusun sepuluh jari,
Salam lebaran KESMA ucapkan.

 

"BERKHIDMAT UNTUK NEGARA"

Saya yang menurut perintah,

Mazlina Mohd Madlan

 

Biro Publisiti KESMA

2018/2019

Mahkamah Kuala Lumpur.

 

________________________________________________________________________________

Tarikh : 4.6.2018

Peristiwa : Ramadhan Al Mubarak : Majlis Khatam Al Quran, Iftar dan Solat Berjemaah 2018

 

Kelab Sukan Kebajikan dan Rekreasi Mahkamah Kuala Lumpur (KESMA) telah menjalankan Program Barakah Ramadhan 1439H bersempena bulan puasa tahun ini. Kemuncak Program Barakah Ramadhan 1439H ini adalah dengan penganjuran Majlis Khatam Al-Quran dan Iftar Mahkamah Kuala Lumpur pada 31.5.2018. Syukur Alhamdulillah majlis tersebut telah berjalan lancar seperti yang dijadualkan.

 

Majlis dimulakan dengan kehadiran para jemputan seawal jam 6.00 petang. Majlis diteruskan dengan majlis Khatam Al Quran yang dikelolakan oleh Ustaz Khairul Anuar Basri. Kesemua hadirin kemudian menjamu juadah berbuka bagi Iftar diikuti dengan Solat Mahghrib berjemaah di aras 2 Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

 

Majlis tersebut juga telah diserikan dengan program pemberian sumbangan duit raya kepada 30 orang anak yatim dan asnaf daripada Sekolah Kebangsaan Kiaramas yang merupakan sekolah paling hampir dengan Mahkamah Kuala Lumpur. Solat Isyak, Terawih dan witir secara berjemaah turut diadakan pada malam tersebut dan aktiviti ibadah ini selesai kira-kira jam 10.00 malam.

 

Sesungguhnya kejayaan Majlis Khatam Al-Quran dan Iftar pada malam tersebut adalah berkat sumbangan infak yang diterima sebanyak RM10,300.00 daripada YA Hakim, pegawai-pegawai dan juga kakitangan wargakerja Mahkamah Kuala Lumpur. Semoga usaha ini dapat diteruskan di tahun-tahun mendatang.

 

 

Biro Kebajikan dan Agama

KESMA 2018/2019

Melayu