Kenyataan Rasmi PKPMP Berkenaan Macau Scam

Tarikh : 8.11.2018

Perkara : KENYATAAN RASMI PEJABAT KETUA PENDAFTAR MAHKAMAH PERSEKUTUAN MALAYSIA MENGENAI MACAU SCAM YANG MENGGUNAKAN NAMA DAN IDENTITI MAHKAMAH

 

Assalammualaikum WBT dan Selamat Sejahtera.

 

YBhg. Dato' Sri / Datuk / Dato' / Datin / Dr. / Tuan / Puan,

 

Dengan segala hormatnya perkara di atas adalah dirujuk.

 

2. Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia (PKPMP) merujuk kepada laporan Astro Awani mengenai penipuan yang menggunakan nama dan identiti Mahkamah  yang terbaru bertarikh 6 November 2018 bertajuk Jurutera rugi RM70,000 ditipu sindiket 'Macau Scam' (yang boleh dilayari di: http://www.astroawani.com/berita-malaysia/jurutera-rugi-rm70-000-ditipu-sindiket-macau-scam-190385).

 

3. Untuk makluman, PKPMP telah menerima aduan daripada orang awam mengenai panggilan telefon yang mendakwa panggilan tersebut adalah dari Mahkamah yang menuntut bayaran dibuat bagi tunggakan hutang, tunggakan saman, kesalahan tidak membayar GST, kesalahan berkaitan dadah dan pelbagai kesalahan yang lain.

 

4. PKPMP ingin menegaskan bahawa panggilan yang menggunakan nama dan identiti Mahkamah adalah modus operandi Macau Scam yang bertujuan untuk menipu orang ramai.

 

5. Sehubungan dengan itu, PKPMP memohon kerjasama para pegawai dan kakitangan PKPMP untuk sama-sama membuat hebahan ini kepada keluarga, rakan-rakan dan kenalan bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan tersebut.

 

6. Sekiranya menerima panggilan tersebut, semakan lanjut boleh dibuat dengan memajukan aduan/pertanyaan kepada komunikasikorporat@kehakiman.gov.my atau boleh menghubungi talian seperti yang tertera di bawah:

 

Semenanjung: 03-8880 3500/ 03-8880 4607

Sabah: 088-286 100/ 088-675 570/ 089-764 401

Sarawak: 082-442 228/ 085-418 118/ 084-333 788/ 086-334 189

 

7. Seterusnya, mana-mana individu yang yang menjadi mangsa bagi panggilan tersebut, bolehlah membuat laporan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan memajukan laporan tersebut kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

 

Sekian untuk makluman YBhg. Dato' Sri / Datuk / Dato' / Datin / Dr. / Tuan / Puan.

 

PEJABAT KETUA PENDAFTAR

MAHKAMAH PERSEKUTUAN MALAYSIA

ISTANA KEHAKIMAN, PUTRAJAYA

 

BERTARIKH 7 NOVEMBER 2018

Melayu