RAYUAN KUTIPAN SUMBANGAN BANTUAN KHAS

 

Tarikh : 26.4.2019

Perkara : Rayuan Kutipan Sumbangan Bantuan Khas

 

 

RAYUAN KUTIPAN SUMBANGAN BANTUAN KHAS

UNTUK KEBAJIKAN PESAKIT KANSER ADIK CEMPAKA NUR EDRIANA  BINTI AHMAD ZULFAHMI,

BAYI KEPADA ENCIK AHMAD ZULFAHMI BIN RAMLI, PEMBANTU OPERASI DI BILIK FAIL MAHKAMAH TINGGI BAHAGIAN SIVIL

 

Y.Bhg. Datuk/ Dato’/ Datin/ Tuan/ Puan,

 

            Kelab Sukan, Kebajikan dan Rekreasi Mahkamah Kuala Lumpur “KESMA” ingin berkongsi kisah dugaan yang menimpa adik Cempaka Nur Edriana Binti Ahmad Zulfahmi (2 tahun) iaitu bayi kepada Encik Ahmad Zulfahmi Bin Ramli, Pembantu Operasi yang bertugas di Bilik Fail Mahkamah Tinggi Sivil Kuala Lumpur.

 

            Adik Cempaka telah menghidapi penyakit kanser darah leukemia (Acute Lymphoblastic Leukemia B-Cell) sejak berusia 1 tahun. Sejak itu, adik Cempaka telah menjalani beberapa siri rawatan kemoterapi di Hospital Kuala Lumpur. Dalam usia yang sangat muda, bayi ini bukan sahaja bertarung dengan kesakitan akibat sel kanser yang menyerang tubuhnya malahan terpaksa menanggung kesakitan akibat kesan dos kemoterapi yang dijalaninya dan beberapa ujian makmal termasuk ujian air tulang sumsum yang menyakitkan.   Setiap saat yang dilalui oleh si kecil ini adalah satu pertarungan besar untuknya. Hospital dan wad pula bagaikan telah menjadi rumah kedua bagi bayi ini. Anak ini terpaksa menetap di dalam wad sehingga 2 minggu setiap kali rawatan kemoterapi dijalankan. Maka, si ayah terpaksa kerap mengambil cuti bagi menemani Cempaka pada setiap sesi rawatan.

 

     Memandangan isteri beliau merupakan seorang suri rumah sepenuh masa, pasangan ibu bapa ini bukan sahaja bertarung dengan emosi, masa, tenaga dalam menjaga anak yang sakit, malah isu wang ringgit turut menjadi kerisauan utama mereka. Keadaan kos sara hidup yang tinggi dan kos berulang-alik ke hospital amat memberi tekanan kepada mereka. Bagi menampung perbelanjaan anak mereka, Encik Ahmad Zulfahmi terpaksa melakukan kerja tambahan untuk menambah sumber pendapatan dan turut dibantu oleh isteri beliau yang menjalankan perniagaan makanan (homemade food).

 

Untuk makluman, adik Cempaka ini merupakan anak kedua kepada pasangan Encik Ahmad Zulfahmi dan isteri. Anak pertama mereka, telah kembali ke pangkuan Ilahi sejak di usia bayi lagi. Begitu hebat dugaan pasangan suami isteri ini dan kini, mereka diuji sekali lagi dengan serangan kanser ke atas bayi kedua pula.

 

 

 

            Justeru, KESMA menyeru seluruh warga Mahkamah Kuala Lumpur yang berhati murni dan budiman, untuk turut sama membantu, menghulur tangan, memberi sokongan dan sumbangan untuk meringankan beban yang sedang ditanggung oleh sahabat kita, Encik Ahmad Zulfahmi. Semoga dengan keikhlasan bantuan dan sokongan kita semua,  adik Cempaka akan sentiasa ceria dan selesa serta  Encik Ahmad Zulfahmi sekeluarga lebih kuat dalam menghadapi ujian ini.

 

            Semua bentuk sumbangan boleh terus disalurkan terus ke akaun Encik Ahmad Zulfahmi Bin Ramli, akaun CIMB Bank No.7002-8047-40 atau dengan menghubungi beliau di talian 012-225 4146. Sokongan motivasi, doa dan semangat juga amat diperlukan. Sokongan juga boleh diberikan dalam bentuk tempahan makanan menerusi perniagaan isteri beliau di laman facebook beliau, https://www.facebook.com/zetty.siti . Sumbangan juga boleh diwakilkan kepada mana-mana AJK Kesma atau kepada pegawai-pegawai penyelia masing-masing (untuk dikumpulkan dan diserahkan kepada Encik Ashraf Rezal Bin Abdul Manan, Timbalan Pendaftar Bahagian Dagang).

 

KESMA mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan atas setiap sumbangan dan sokongan Datuk/ Dato’/ Datin/Tuan/ Puan dan KESMA turut mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat hari lahir kepada adik Cempaka sempena ulang tahun kelahirannya yang kedua pada 31 Mac 2019 baru-baru ini.

 

Sekian, terima kasih.

 

Biro Kebajikan & Agama

KESMA 2019/2020

 

#CANCERfighter

#fightwithCempaka

#KESMApeduli

#bersamaberpimpinanmembuatkebaikan

Melayu