Kaunter YBGK Di KMKL

 

Tarikh : 26.11.2019

Perkara : Kaunter YBGK di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur

 

Satu Mesyuarat bersama YBGK telah dibuat oleh Unit Keselamatan dan Pentadbiran Mahkamah Kuala Lumpur pada 19 November 2019. Di dalam mesyuarat tersebut, satu persetujuan telah dibuat di mana Pihak YBGK dibenarkan untuk membuka kaunter/ Booth di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur seperti berikut:-

 

Tempat : Lobi KMKL (Aras 1 - berhampiran dengan Kaunter Pesuruhjaya Sumpah)

 

Masa : Setiap minggu pertama selama 3 bulan.

 

Sekian, terima kasih.


"BERKHIDMAT UNTUK NEGARA"


Saya yang menjalankan amanah,
 
           t.t
Salamiah Binti Salleh

Timbalan Pendaftar

Bahagian Pelaksanaan

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur

WP Kuala Lumpur

03-69074451
salamiah@kehakiman.gov.my

_________________________________________________________________

 

YAYASAN BANTUAN GUAMAN KEBANGSAAN (YBGK)

Latar Belakang

Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) telah diperbadankan pada 25 Januari 2011 hasil keputusan yang dibuat di mesyuarat Jemaah Menteri pada 3 Mac 2010.

 

Cadangan penubuhan YBGK timbul semasa perjumpaan antara Perdana Menteri dengan Pengerusi dan anggota lain Majlis Peguam Malaysia pada 7 Januari 2010. Semasa perjumpaan itu, Perdana Menteri telah diberitahu bahawa dianggarkan 80% daripada mereka yang dibicarakan di mahkamah bagi kesalahan jenayah tidak mempunyai pewakilan guaman. Dengan pembentukan YBGK, mereka yang tidak mampu untuk membayar fi guaman akan diberikan bantuan guaman oleh YBGK. Peguam yang memberikan perkhidmatan guaman melalui YBGK akan menerima bayaran nominal sahaja memandangkan pemberian perkhidmatan guaman tersebut merupakan tanggungjawab sosial mereka. Bagi tujuan penubuhan YBGK, dana pelancaran RM5 juta diperlukan daripada Kerajaan.

 

Pada mesyuarat yang telah diadakan pada 3 Mac 2010, Jemaah Menteri telah bersetuju bahawa YBGK akan ditubuhkan di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia. Hasilnya, beberapa siri mesyuarat yang melibatkan Jabatan Peguam Negara (JPN), Jabatan Bantuan Guaman (JBG), Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) dan Majlis Peguam Malaysia telah diadakan untuk membincangkan penubuhan YBGK. Cadangan penubuhan itu telah dimuktamadkan pada 11 Oktober 2010 dalam suatu mesyuarat yang dipengerusikan oleh Peguam Negara.

 

YBGK ditadbirkan oleh suatu Lembaga Pengarah yang dipengerusikan oleh Peguam Negara. Ahli lain terdiri daripada Presiden Majlis Peguam, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat, Ketua Pengarah Jabatan Bantuan Guaman, Presiden Persatuan Undang-Undang Sabah, Presiden Persatuan Peguam Bela Sarawak, seorang Dekan Fakulti Undang-Undang di Institusi Pengajian Tinggi Awam dan dua orang wakil pertubuhan bukan Kerajaan yang dilantik oleh Menteri.

 

Objektif

YBGK ditubuhkan untuk memberi bantuan guaman dalam perkara jenayah seperti yang berikut−

 

(a) membiayai perjalanan bantuan dan nasihat guaman berhubung dengan prosiding jenayah untuk dan bagi pihak mereka yang memerlukan bantuan guaman;

(b) menyediakan perkhidmatan bagi peguam swasta untuk mewakili mereka yang memerlukan pewakilan guaman (legal representation) dalam prosiding jenayah;

(c) menggalakkan, mengadakan, membiayai dan menyelia penyelidikan berkenaan dengan bantuan guaman;

(d) memulakan dan menjalankan program pendidikan yang bertujuan untuk memupuk kefahaman orang ramai mengenai hak, kuasa, keistimewaan dan kewajipan mereka di bawah undang-undang Malaysia; dan

(e) menyediakan maklumat kepada orang ramai mengenai adanya bantuan guaman dalam perkara jenayah oleh peguam YBGK.

YBGK telah memulakan operasinya pada 2 April 2012 di seluruh Malaysia. Di Sabah, perkhidmatan YBGK hanya meliputi Kota Kinabalu, Papar, Penampang, Tuaran, Sandakan dan Kota Belud manakala di Sarawak ia meliputi Kuching, Miri, Sibu dan Bintulu setelah mengambil kira kemampuan sumber manusia. 

* Operasi YBGK di Semenanjung Malaysia dibantu oleh Pusat Bantuan Guaman di setiap negeri di bawah kelolaan Majlis Peguam Malaysia manakala bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan pula, Jabatan Bantuan Guaman bekerjasama dengan Persatuan Undang-Undang Sabah dan Persatuan Peguam Bela Sarawak.

 

Perkhidmatan Yang Diberikan

YBGK menyediakan khidmat nasihat dan bantuan guaman dalam kes jenayah termasuk jenayah Syariah pada peringkat tangkapan, reman, pertuduhan, permohonan ikat jamin, mitigasi, perbicaraan dan rayuan secara PERCUMA kepada semua warganegara Malaysia.

 

Syarat-syarat untuk mendapatkan bantuan guaman dan khidmat nasihat dalam perkara jenayah adalah seperti yang berikut:
* seorang warganegara Malaysia;
* bagi bantuan guaman di peringkat perbicaraan dan rayuan, pemohon mestilah mempunyai sumber pendapatan tidak melebihi RM36,000 setahun tertakluk kepada ujian kemampuan bagi menentukan kelayakan seseorang itu untuk dibantu.

 

Jenis kesalahan yang dibantu oleh YBGK

Semua jenis kesalahan jenayah kecuali kesalahan yang membawa hukuman mati. Kesalahan yang membawa hukuman mati tidak akan diliputi oleh YBGK kerana mahkamah menyediakan perkhidmatan peguam yang dilantik oleh mahkamah (assigned counsel) kepada tertuduh.
* Tangkapan
* Pihak polis atau agensi penguatkuasaan lain akan memaklumkan orang yang ditangkap mengenai haknya untuk diwakili oleh peguam dan akan menghubungi YBGK untuk mewakili orang yang ditangkap itu tertakluk kepada seksyen 28A Kanun Tatacara Jenayah atau orang yang ditangkap menggunakan khidmat peguam sendiri.
* Reman
* YBGK akan mewakili orang yang ditangkap semasa permohonan reman dibuat di hadapan Majistret.
* Pertuduhan/Jaminan/Mitigasi
* YBGK akan mewakili tertuduh semasa pertuduhan dibaca dan semasa membuat permohonan untuk jaminan/mitigasi.

* Perbicaraan/Rayuan
* YBGK akan mewakili tertuduh semasa perbicaraan/rayuan tertakluk kepada ujian kemampuan.

 

Hubungi Kami

webmaster@ybgk.org.my

http://www.ybgk.org.my/

https://www.facebook.com/pages/Yayasan-Bantuan-Guaman-Kebangsaan-YBGK/118395202414891

1-800-88-9245

1-300-88-9245

 

Masa beroperasi: 
Isnin-Jumaat
Ahad-Khamis (Kelantan,Terengganu, Kedah, Johor)
9.00 pagi hingga 5.00 petang

 

Melayu