Ketua Hakim Negara

 

                                                                                                                             

Ketua Hakim Negara

     YAA Tan Sri Dato' Seri Md Raus bin Sharif
       Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan Malaysia
       P.M.N., P.S.M., S.S.A.P., S.P.D.K., S.S.T.M., D.A., D.M.P.N., K.M.N

 

YAA Tan Sri Dato’ Seri Md Raus bin Sharif dilahirkan pada 04 Februari 1951 di Rembau, Negeri Sembilan dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kampung Astana Raja, Rembau, Negeri Sembilan sebelum meneruskan pengajian ke Sekolah Menengah Tunku Besar Tampin. YAA Tan Sri menamatkan pengajian tingkatan enam Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), lpoh, Perak. Beliau seterusnya melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) dari Universiti Malaya pada tahun 1976 yang juga merupakan kumpulan pertama pelajar jurusan undang-undang dari universiti tersebut. Pada tahun 1987, YAA Tan Sri memperoleh Ijazah Sarjana Undang-Undang daripada London School of Economics. YAA Tan Sri telah memulakan kerjaya beliau pada tahun 1976 sebagai pegawai undang-undang sangkutan di Mahkamah Majistret yang terletak di Court Hill dan kemudiannya dipindahkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur yang terletak di Jalan Duta.

 

Selepas beberapa bulan, YAA Tan Sri ditugaskan sebagai Majistret di Mahkamah Majistret Pontian, Johor. Dalam Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan, YAA Tan Sri telah memegang pelbagai jawatan antaranya adalah sebagai Presiden Mahkamah Sesyen, Timbalan Pendakwa Raya di Negeri Kelantan dan Terengganu, Penasihat Undang-Undang di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri , Penasihat Undang-Undang Negeri Melaka, Penasihat Undang-Undang di Bahagian Pencen, Jabatan Perkhidmatan Awam, Penasihat Undang-Undang di Kementerian Pertahanan, Penasihat Undang-Undang di Kementerian Dalam Negeri, Penasihat Undang-Undang Negeri Kelantan dan Peguam Cara Perbendaharaan di Kementerian Kewangan, sebelum dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman pada 01 November 1994.

 

Semasa memegang jawatan Pesuruhjaya Kehakiman, YAA Tan Sri telah ditugaskan mendengar dan memutuskan kes-kes jenayah di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor yang bersidang di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Pada 12 Januari 1996, YAA Tan Sri telah dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi. Semasa menjawat jawatan Hakim Mahkamah Tinggi, YAA Tan Sri telah bertugas di Shah Alam, Muar, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur. Semasa di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, YAA Tan Sri bertugas di Bahagian Dagang, Bahagian Sivil (Mahkamah Keluarga) dan Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas.

 

Pada 28 Julai 2008, YAA Tan Sri telah dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan dan kemudiannya sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan pada 14 Oktober 2009. Pada 12 September 2011, YAA Tan Sri telah dilantik memegang jawatan Presiden Mahkamah Rayuan.

 

YAA Tan Sri telah secara rasminya dilantik menjadi Ketua Hakim Negara yang ke-14 pada 04 April 2017.

 

Sebagai menghargai jasa-jasa yang telah YAA Tan Sri sumbangkan kepada negara, YAA Tan Sri telah dianugerahkan dengan beberapa darjah kebesaran iaitu Kesatria Mangku Negara (KMN) pada 1994, Darjah Yang Mulia Pangkuan Negeri (DMPN) pada tahun 2000, Darjah Seri Setia Tuanku Mukriz Yang Amat Terbilang (SSTM) pada tahun 2010, Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) pada tahun 2011, Darjah Panglima Mangku Negara (PMN) pada tahun 2012 dan pada tahun 2016, sebanyak tiga anugerah diterima oleh YAA Tan Sri iaitu, Darjah Kebesaran Seri Panglima Darjah Kinabalu (SPDK), Darjah Kebesaran Peringkat Pertama Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) dan Darjah Kebesaran Datuk Amar Bintang Kenyalang (DA).

 

YAA Tan Sri telah mendirikan rumahtangga dengan Yang Berbahagia Puan Sri Dato’ Indera Salwany Mohamed Zamri dan telah dikurniakan dengan dua orang cahaya mata.

Melayu