SEJARAH MAHKAMAH NEGERI PERLIS

 

 

Latarbelakang Mahkamah Negeri Perlis

Detik-detik sejarah perkembangan Pentadbiran Kehakiman di Perlis telah bermula pada akhir abad ke sembilan belas di zaman pemerintahan Raja Perlis Ketiga iaitu Almarhum Tuanku Syed Safi Ibni Almarhum Syed Alwi Jamalullail yang memegang tahta di antara tahun 1897 ke tahun 1906.
 
Sejak tahun 1897 sudah wujud dua Mahkamah di Perlis yang dikenali sebagai Mahkamah Besar dan Mahkamah Kecil.  Selanjutnya di zaman Raja Perlis ke Empat di antara tahun 1905 ke 1943 kita dapat lihat jawatan Hakim yang telah wujud ini berterusan selaras dengan perkembangan di bidang kehakiman dari zaman ke zaman.
 
Di zaman pemerintahan Jepun, seorang Hakim Besar dilantik tetapi sekembalinya pemerintahan British jawatan Hakim Besar digantikan dengan jawatan Ketua Majistret di samping jawatan Majistret.
 
Menurut W.W. Skeat dalam bukunya “Journal of the Malayan Branch Royal Asiatic Society”, Jilid XXVI bahagian 4, Disember 1953 di mukasurat 134 dan 135 beliau melawat Perlis pada 2 Januari 1900 telah menggambarkan:-
 
“…. the main street consisted of sixty-two houses, mostly Chinese shops of brick, with eight Malay shops of plank and palm-thatch.  Next I came to an open space, where the Court House stood, with the inevitable European cannon (described as Dutch, but probably British) in front of it.  It was a brick and plank building, of two storeys, with a tiled roof and quite new in appearace.  Some way off, a little back from the main road, stood a plank and palm-thatched Malays mosque.  Further down this same road were the Raja’s palm-thatched stables, with a pair of horses and carriage, recent importations from Penang, vivible in the yard.”
 
            Di era moden, Mahkamah Majistret telah wujud sejak tahun 1958 lagi di mana pada masa itu Mahkamah ini pernah ditempatkan di satu bangunan yang terletak di persimpangan Jalan Indera Kayangan dan Jalan Barrack.  Bangunan ini yang terletak di belakang Balai  Polis Kangar (Cawangan Trafik sekarang) adalah diperbuat sebahagian besarnya daripada papan.  Penempatan Mahkamah di sini adalah sehingga ke tahun 1962 sahaja apabila bangunan Mahkamah yang baru telah dibina di Jalan Hospital iaitu di tapak yang ada sekarang.  Pembukaannya telah dirasmikan oleh D.Y.M.M. Tuanku Syed Putra Ibni Al Marhum Syed Hassan Jamalullail, Raja dan Yang DiPertuan Negeri Perlis.
 
            Bangunan baru ini yang berbentuk ‘U’ mempunyai satu ruang tengah sebagai bahagian Pentadbiran dengan 2 dewan perbicaraan, sayap kirinya digunakan sebagai Mahkamah Majistret dan kanannya digunakan sebagai Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi.  Pada masa itu Mahkamah Majistret berfungsi sepenuh masa dan Mahkamah Sesyen bersidang hanya 2 kali sebulan sehinggalah seorang Yang Di Pertua (Presiden) bagi Mahkamah Sesyen dilantik secara tetap pada tahun 1979 untuk berfungsi sepenuh masa.  Walau bagaimanapun Mahkamah Tinggi pada tahun yang sama masih lagi bersidang secara tidak tetap dan hanya membicarakan kes-kes jenayah sahaja dengan menggunakan Mahkamah Sesyen apabila mengadakan persidangannya.  Semua kes-kes sivilnya masih dibicarakan di Mahkamah Tinggi Alor Setar.
 
            Bangunan Mahkamah Sesyen (di sayap kanan) mula dikesan mengalami keretakan pada awal tahun 1986.  Dalam tempoh tersebut Kamar Majistret serta Dewan Perbicaraan Mahkamah Majistret telah digunakan bersama sebagai Mahkamah Majistret, Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi.  Dalam keadaan serba kekurangan inilah Y.A.A. Ketua Hakim Negara pada masa itu, Tun Dato’ Seri Haji Abdul Hamid bin Hj. Omar sendiri telah berusaha bagi mendapatkan bangunan baru khususnya bangunan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Sesyen.  Di atas budi baik Kerajaan Negeri khasnya Menteri Besar Perlis pada masa itu, Y.A.B. Dr. Abdul Hamid Pawanteh, bangunan Kebajikan Masyarakat yang dikosongkan di kawasan yang bersebelahan dibenarkan untuk diubahsuai dan digunakan sebagai Mahkamah Sesyen yang dijadikan Mahkamah Majistret II.
 
            Pembinaan bangunan Mahkamah Tinggi bermula pada bulan November 1989 di atas tapak bangunan Mahkamah Sesyen yang mengalami keretakan.  Di atas kerjasama dan daya usaha semua pihak khasnya Kementerian Kehakiman Malaysia akhirnya terbinalah bangunan Mahkamah Tinggi di Negeri Perlis pada penghujung tahun 1990.  Bangunan ini menempatkan sebuah Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Sesyen yang lengkap dan bersebelahan dengan Bangunan Mahkamah Majistret.
 
            Dengan siapnya bangunan Mahkamah Tinggi serta penempatan seorang Hakim bersama pegawai dan kakitangan sokongan, Mahkamah Tinggi Kangar telah mula berfungsi dan bersidang secara sepenuh masa pada awal tahun 1991 lagi.  Dengan ini semua kes-kes sivil dan jenayah bagi Negeri Perlis bersama urusan pentadbirannya dikendalikan sepenuhnya di Kangar.  Kes-kes dari Negeri Perlis yang belum lagi diselesaikan di Mahkamah Tinggi Alor Setar dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kangar untuk tindakan seterusnya.
 
            Kini Mahkamah di Negeri Perlis terdiri dari Mahkamah Tinggi, Mahkamah Sesyen dan sebuah Mahkamah Majistret yang berfungsi sepenuh masa untuk seluruh Negeri Perlis Indera Kayangan.

Mahkamah Tinggi mempunyai seorang Hakim iaitu Y.A. Tn. Abu Bakar bin Katar serta seorang Penolong Kanan Pendaftar yang juga menjalankan tugas-tugas Majistret iaitu Pn. Siti Nor Hasliza Binti Md Ali

Manakala Mahkamah Sesyen & Majistret pula ditadbir sepenuhnya oleh seorang Hakim Kanan yang juga merangkap Pengarah Mahkamah Negeri Perlis iaitu Dato' Ibrahim Bin Osman

 
 
Melayu