Sejarah Mahkamah Tinggi Pulau Pinang

SEJARAH MAHKAMAH TINGGI PULAU PINANG

Sejarah sistem perundangan di Malaysia bermula dengan penaklukan Prince of Wales Island (Pulau Pinang) pada 11 Ogos 1786 oleh Kapten Francis Light. Dengan perkembangan Prince of Wales Island pada ketika itu sebagai pusat perdagangan terkemuka dengan pertumbuhan populasi yang pesat telah mendesak Kapten Francis Light untuk mendapatkan bantuan perundangan oleh Governor-General di India untuk mentadbir penduduk Pulau ini.

Pada tahun 1801, John Dickens telah dilantik sebagai Majistret pertama di Pulau Pinang. Piagam DiRaja ("The Royal Charter") telah dianugerahkan kepada Pulau Pinang pada tahun 1807 yang telah menyaksikan penubuhan "Supreme Court"  (Mahkamah Agung). Dengan penubuhan Mahkamah Agung, jawatan baru telah diwujudkan iaitu "Recorder" yang berperanan sebagai Hakim. "Recorder" pertama yang dilantik di Pulau Pinang ialah Sir Edmond Stanley pada tahun 1808 dan pada ketika itulah bermulanya pembinaan bangunan Mahkamah yang pertama di Semenanjung Tanah Melayu.

Bangunan "Supreme Court of Penang" yang pertama terletak di Fort Conwalis yang kemudiannya berpindah ke bangunannya sendiri yang merupakan bekas kediaman rasmi John Dickens, iaitu Majistret pertama di Pulau Pinang. Pada tahun 1903, bangunan "Supreme Court" yang pertama telah dirobohkan. Tidak jauh daripada tapak asalnya telah dibina Bangunan "Supreme Court" yang baru iaitu bangunan Mahkamah Tinggi yang sedia ada di Lebuh Light. Bangunan ini telah diduduki pada tahun 1903. Reka bentuk bangunan ini adalah berasaskan senibina pada zaman pemerintahan King George di England pada kurun ke 18.

Bangunan ini telah melalui beberapa fasa pengubahsuaian dan pembaikan dari tahun ke tahun. Penambahbaikan bangunan Mahkamah Agung Pulau Pinang (sekarang dikenali sebagai Mahkamah Tinggi Pulau Pinang) telah disiapkan pada tahun 2007 dan dirasmikan pada 28 Februari 2009 oleh Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Dato' Seri Utama (Dr) Haji Abdul Rahman Bin Haji Abbas.

Sistem kehakiman di Pulau Pinang yang telah menjangkau usia 200 tahun dan bangunan Mahkamah Tinggi yang berusia lebih 100 tahun ini telah meninggalkan nostalgia yang mendalam kepada semua pengamal undang-undang di negeri ini. Malah, bangunan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang ini telah mendapat pengiktirafan UNESCO sebagai "World Cultural Heritage Site" pada 7 Julai 2008.

 

 

Melayu