Skip to main content

Pejabat Pendaftaran Mahkamah Persekutuan Malaysia

Pejabat Pendaftaran Mahkamah Persekutuan merupakan bahagian yang bertanggungjawab ke atas pentadbiran dan pengurusan kes-kes yang difailkan di Mahkamah Persekutuan. Pejabat ini menyediakan khidmat sokongan perundangan untuk membolehkan Mahkamah Persekutuan mendengar dan menyelesaikan kes dengan lancar dan licin. Demi kepentingan undang-undang dan juga orang awam, bahagian ini bertanggungjawab memastikan kendalian dan pelupusan kes di Mahkamah Persekutuan dilaksanakan dalam jangkamasa yang ditetapkan dengan mengambil kira kerjasama semua pihak yang terlibat.

 

Pejabat Pendaftaran Mahkamah Persekutuan ini diketuai oleh Timbalan Kanan Pendaftar dengan dibantu oleh beberapa orang Timbalan Pendaftar dan Penolong Kanan Pendaftar. Bahagian ini merangkumi Unit Pentadbiran, Unit Rayuan Sivil, Unit Rayuan Jenayah, Unit Permohonan Sivil, Unit Sabah & Sarawak dan Unit Pengurusan Kes.

 

Fungsi Pejabat Pendaftaran Mahkamah Persekutuan antara lain adalah seperti berikut:

 

Melaksanakan tugas-tugas pentadbiran am bagi memastikan sistem penyampaian yang baik, adil dan saksama di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Persekutuan.

Memastikan pendaftaran dan pemprosesan dokumen-dokumen bagi kes-kes yang difailkan di Mahkamah Persekutuan dilaksanakan dengan lancar dan cepat.

Menjalankan pengurusan kes bagi memastikan kes dapat ditetapkan untuk perbicaraan di hadapan Panel Hakim Mahkamah Persekutuan dalam tempoh yang ditetapkan.

Mengendalikan tugasan di Mahkamah terbuka bagi membantu Panel Hakim Mahkamah Persekutuan untuk memastikan persidangan di Mahkamah Persekutuan berjalan dengan lancar.

Menyemak dan meluluskan deraf perintah dan perintah bermeterai yang difailkan di Mahkamah Persekutuan dengan memastikan ianya selaras dengan perintah yang diberikan oleh Panel Hakim Mahkamah Persekutuan. Pejabat Pendaftaran juga bertanggungjawab menyelesaikan apa-apa pertikaian berkaitan dengan perintah yang difailkan.

Alamat:
Pejabat Pendaftaran Mahkamah Persekutuan Malaysia
Mahkamah Persekutuan Malaysia, Aras 2,
Istana Kehakiman, Presint 3,
62506 Putrajaya