Soalan Lazim
Etika Berpakaian
Pakaian yang sopan dan tertib.
Dokumen-Dokumen
- Pengenalan Diri
- Sekiranya anda adalah seorang warganegara Malaysia anda dikehendaki membawa Kad Pengenalan/Sijil Kelahiran. Sekiranya anda adalah seorang warganegara Asing anda dikehendaki membawa Pasport Antarabangsa atau dokumen-dokumen yang berkaitan.
- Anggota-Anggota Kerajaan - Sila bawa bersama anda kad kuasa jabatan dan dokumen yang berkaitan.
- Pemilik Syarikat - Kemukakan Sijil Pendaftaran Syarikat dan dokumen-dokumen yang berkaitan.
- Wakil Syarikat - Surat Perwakilan mesti dibawa bersama.
- Pemilik Hartanah - Sila kemikakan geran dan dokumen-dokumen yang berkaitan.
- Sijil Sakit- Pastikan sijil sakit menyatakan anda tidak sihat untuk hadir ke Mahkamah.
PERANAN TANGGUNGJAWAB SAKSI DI MAHKAMAH
- Saksi adalah seseorang yang akan memberi keterangan mengenai sesuatu fakta berkaitan dengan kes yang berkenaan. Seseorang yang diserahkan dengan sapina oeh mahkamah adalah seorang saksi dan beliau mestilah hadir ke Mahkamah untuk memberi keterangannya.
- Sekiranya gagal hadir Waran Tangkap boleh dikeluarkan terhadap beliau. Tujuan saksi hadir ke Mahkamah adalah untuk mengemukakan keterangan secara lisan atau secara dokumen mengenai sesuatu fakta supaya Mahkamah dapat membuat keputusan berdasarkan keterangan - Keterangan yang diberikan.
APAKAH YANG PERLU ANDA LAKUKAN SEBELUM KE MAHKAMAH
- Pastikan tarikh/waktu dan tempat perbicaraan tersebut (Sila rujuk pada sapina).
- Sekiranya anda dikehendaki mengemukakan apa-apa dokumen tersebut disediakan dan dibawa pada hari perbicaraan. Rancanglah perjalanan anda, supaya anda sampai ke Mahkamah sebelum 9.00 pagi.
- Anda hendaklah berpakaian kemas, sopan dan tidak menjolok mata.
TANGGUNGJAWAB SAKSI SEMASA MEMBERI KETERANGAN DI MAHKAMAH
- Gunakan bahasa yang difahami untuk memberi keterangan. (Jurubahasa akan disediakan untuk bahasa-bahasa selain daripada Bahasa Malaysia).
- Angkat sumpah di dalam kandang saksi dengan suara yang kuat dan jelas sambil mengangkat tangan kanan paras bahu. Kemukakan kad pengenalan/kad kuasa/pasport melalui Jurubahasa untuk rujukan dan rekod Mahkamah.
- Hendaklah mendengar dengan teliti soalan-soalan Pendakwa / Peguam dan jawab apa yang ditanya sahaja. Jika ada sebarang soalan yang tidak difahami atau tidak jelas, dapatkan penjelasan.
- Pastikan jawapan/keterangan yang diberikan adalah secara jujur dan benar. Saksi adalah terikat dengan sumpah untuk berkata benar.
- Bawa bersama-sama dokumen-dokumen yang akan dikemukakan ke kandang saksi. Dapatkan keizinan Mahkamah sekiranya ingin merujuk dokumen.
- Sekiranya keterangan belum selesai/saksi tidak sempat memberi keterangan, sila pastikan tarikh sambung perbicaraan dicatatkan kerana saksi perlu hadir pada tarikh tersebut.
- Berada di dalam bilik bicara sebelum pukul 9.00 pagi atau pada masa yang telah ditetapkan oleh mahkamah.
- Bangun dan tunduk hormat apabila Hakim/Majistret masuk dan meninggalkan bilik bicara.
- Tampil ke hadapan apabila nama anda dipanggil oleh jurubahasa.
- Berikan sepenuh perhatian anda kepada prosiding yang sedang berjalan.
- Dilarang membuat bising semasa mahkamah bersidang.
- Tunduk hormat ketika hendak masuk dan keluar dari mahkamah yang sedang bersidang.
- Kanak-Kanak tidak dibenarkan untuk dibawa ke dalam bilik bicara kecuali jika diarahkan oleh mahkamah.
- Sebarang jenis senjata adalah tidak dibenarkan.
- Sebarang rakaman sama ada dalam bentuk audio atau visual adalah tidak dibenarkan.
- Telefon bimbit dan alat-alat elektronik lain yang boleh menghasilkan bunyi hendaklah dimatikan.
Pendahuluan
- Soalan lazim dan jawapan ini adalah berlandaskan kepada pentadbiran Surat Kuasa Wakil di bawah Akta Surat Kuasa Wakil 1949 [Akta 424] yang terpakai di Semenanjung Malaysia.
- Secara amnya, suatu surat cara yang hendak mewujudkan kuasa wakil yang sah di sisi undang-undang di Semenanjung Malaysia hendaklah memenuhi kesemua syarat dan tatacara di bawah Akta 424 di samping undang-undang bertulis di Malaysia yang lain yang terpakai menurut fakta dan keadaan semasa yang berkenaan.
- Ini termasuklah kesahan tandatangan, penggunaan bahasa yang dibenarkan, penyeteman surat cara, pendaftaran di Mahkamah Tinggi Malaya serta lain-lain yang berkenaan. Pada masa yang sama, pelantikan Penerima Kuasa/Wakil Kuasa perlu dinyatakan dengan jelas dan terang di dalam klausa surat cara yang mewujudkan Surat Kuasa Wakil.
Apakah Surat Kuasa Wakil?
- Surat Kuasa Wakil adalah suatu surat cara dalam mana dinyatakan bahawa Pemberi Kuasa (Donor) memberi kuasa kepada Penerima Kuasa (Donee) untuk melaksanakan apa-apa tanggungjawab atau tugasan secara umum atau secara spesifik bagi pihak Pemberi Kuasa atas nama Penerima Kuasa.
- Mengikut keperluan atau keadaan masing-masing, terdapat dua jenis kuasa wakil yang boleh diberikan, yakni jenis boleh batal (revocable); atau jenis tidak boleh batal (irrevocable).
Surat Kuasa Wakil Tidak Boleh Batal (Irrevocable Power of Attorney)
- Secara amnya, Surat Kuasa Wakil Tidak Boleh Batal adalah di mana dinyatakan dalam surat cara yang mewujudkan kuasa itu sebagai tidak boleh batal dan bergantung kepada niat pihak-pihak serta tertakluk kepada syarat-syarat yang diperuntukkan di bawah Akta 424, ia boleh wujud dalam dua jenis tempoh, yakni tidak boleh batal pada bila-bila masa; atau tidak boleh batal dalam suatu masa yang ditetapkan.
- Secara amnya, Kuasa Wakil Tidak Boleh Batal tidak boleh dibatalkan sama ada dengan apa-apa pun yang dilakukan oleh Pemberi Kuasa melainkan mendapat persetujuan daripada Penerima Kuasa, atau dengan kematian, perkahwinan, kecelaruan mental, tak sempurna akal, atau kebankrapan Pemberi Kuasa itu.
Siapa Yang Boleh Mendaftar Dokumen Surat Kuasa Wakil?
- Di Semenanjung Malaysia, Pemberi Kuasa atau Penerima Kuasa sendiri boleh membuat pendaftaran dengan mengemukakan permohonan pendaftaran dokumen Surat Kuasa Wakil di mana-mana Pejabat Pendaftaran Surat Kuasa Wakil di bawah Mahkamah Tinggi Malaya di seluruh Semenanjung Malaysia.
- Selain itu, pihak-pihak tersebut boleh juga mendapatkan perkhidmatan Peguam yang beramal di Semenanjung Malaysia untuk menguruskan perihal pendaftaran bagi pihak mereka. Di samping itu, terdapat institusi-institusi di sektor swasta, awam dan separa awam yang mendaftarkan Surat Kuasa Wakil untuk urusan-urusan yang membabitkan pihak mereka, sebagai contoh, bank, Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam, ASNB dan sebagainya.
- Buat orang awam secara khususnya, memandangkan pada masa kini pendaftaran dokumen Surat Kuasa Wakil adalah secara dalam talian (online), mana-mana orang awam yang ingin sendiri membuat pendaftaran dokumen tersebut boleh hadir di mana-mana Pejabat Pendaftaran Surat Kuasa Wakil di bawah Mahkamah Tinggi Malaya di seluruh Semenanjung Malaysia untuk tujuan penyemakan dokumen terlebih dahulu. Setelah didapati dokumen Surat Kuasa Wakil adalah teratur, orang awam tersebut boleh merujuk Kaunter Biro Perkhidmatan di Mahkamah untuk tujuan mendapatkan perkhidmatan mendaftarkan dokumen Surat Kuasa Wakil tersebut secara dalam talian (online).
Bahasa Surat Kuasa Yang Boleh Didaftarkan
- Di Semenanjung Malaysia, di bawah Akta 424 suatu Surat Kuasa Wakil yang ingin dan layak didaftarkan, hendaklah di dalam versi bahasa kebangsaan atau Bahasa Inggeris.
- Namun begitu, Akta 424 juga memberi kelonggaran kepada penggunaan lain-lain bahasa dengan syarat, naskah Surat Kuasa Wakil itu wajib disertakan bersama-sama terjemahannya ke dalam bahasa kebangsaan atau Bahasa Inggeris. Terjemahan tersebut hendaklah diperakui oleh jurubahasa yang bertugas di Mahkamah yang berkelayakan untuk menterjemah bahasa dalam mana surat cara itu ditulis.
- Sekiranya tiada jurubahasa sedemikian, maka suatu terjemahan ke dalam bahasa kebangsaan atau Bahasa Inggeris yang ditentusahkan oleh suatu akuan berkanun (statutory declaration) oleh seorang yang berkelayakan untuk menterjemah daripada bahasa dalam mana surat cara itu ditulis ke Bahasa Inggeris, yang kesannya ialah bahawa terjemahan tersebut adalah suatu terjemahan yang sebenarnya sepanjang pengetahuan dan kepercayaannya.
Pengesahan (Attestation) Tandatangan Ke Atas Surat Kuasa Wakil
- Di Semenanjung Malaysia, Akta 424 mengkehendaki pengesahan (attestation) tandatangan ke atas Surat Kuasa Wakil dan bergantung kepada lokasi Surat Kuasa Wakil yang berkenaan ditandatangani, Akta 424 memperuntukkan beberapa pihak yang layak membuat pengesahan tersebut. Lokasi yang dimaksudkan adalah terbahagi kepada dua kategori, yakni di Semenanjung Malaysia; dan di luar Semenanjung Malaysia:
- Jika Surat Kuasa Wakil ditandatangani di Semenanjung Malaysia, ia hendaklah disahkan oleh mana-mana pegawai berikut:
- Majistret;
- Jaksa Pendamai
- Pentadbir Tanah;
- Notari Awam;
- Pesuruhjaya Sumpah;
- Peguam bela dan peguam cara yang beramal di Semenanjung Malaysia; atau
- Pegawai syarikat yang menjalankan perniagaan bank di Semenanjung Malaysia yang didaftarkan di bawah undang-undang yang berkuat kuasa di Semenanjung Malaysia;
- Jika Surat Kuasa Wakil ditandatangani di luar Semenanjung Malaysia, ianya hendaklah disahkan oleh mana-mana pegawai berikut:
- Notari Awam;
- Pesuruhjaya Sumpah;
- Hakim;
- Majistret;
- Konsul British atau Naib Konsul British;
- Wakil kepada Baginda Queen Britain;
- Mana-mana Pegawai Konsular Malaysia di luar negara;
- Pesuruhjaya Ziarah Malaysia, jika ditandatangani di Arab Saudi; atau
- Peguam bela dan Peguam cara Mahkamah Agung Singapura; atau pegawai syarikat yang menjalankan perniagaan bank di Singapura yang didaftarkan di bawah undang-undang bertulis di Singapura, jika ditandatangani di Singapura.
- Jika Surat Kuasa Wakil ditandatangani di Semenanjung Malaysia, ia hendaklah disahkan oleh mana-mana pegawai berikut:
Bagaimana Bentuk Pengesahan Harus Dibuat?
- Menurut Akta 424, bagi Surat Kuasa Wakil yang ditandatangani di Semenanjung Malaysia, terdapat dua bentuk pengesahan yang hendaklah digunapakai dan perkara ini bergantung kepada sama ada Surat Kuasa Wakil yang berkenaan ditandangani oleh seorang individu atau syarikat atau perbadanan:
- Jika Surat Kuasa Wakil ditandangani oleh Individu:
- Bentuk pengesahan yang digunapakai adalah sepertimana yang diperuntukkan di Borang I di Jadual Pertama Akta 424;
- Jika Surat Kuasa Wakil ditandatangani oleh Syarikat atau Perbadanan:
- Bentuk pengesahan yang digunapakai adalah sepertimana yang diperuntukkan di Borang II di Jadual Pertama Akta 424.
- Jika Surat Kuasa Wakil ditandangani oleh Individu:
- Bagi Surat Kuasa Wakil yang ditandatangani di luar Semenanjung Malaysia, Akta 424 tidak memperuntukkan bentuk pengesahan khas yang perlu digunapakai. Namun begitu, suatu bentuk pengesahan oleh saksi-saksi yang berkenaan perlulah disertakan.
Apakah Surat Kuasa Wakil Perlu Disetemkan Sebelum Pendaftaran?
- Selaras dengan Akta Setem 1949 [Akta 378], setiap Surat Kuasa Wakil yang lengkap perlu disetemkan dengan sempurna terlebih dahulu sebelum dikemukakan ke Mahkamah untuk tujuan pendaftaran.
- Secara amnya, urusan penyeteman boleh dibuat di Pejabat Setem Negeri Lembaga Hasil dalam Negeri Malaysia (LHDN) di negeri-negeri Semenanjung Malaysia dan di semua Pejabat Pos seluruh Malaysia. Untuk maklumat lebih lanjut, sila layari laman web rasmi LHDN di pautan: https://www.hasil.gov.my/duti-setem/ atau hubungi Pusat Penggilan pihak LHDN menurut waktu perkhidmatan yang ditetapkan.
- Selain daripada itu, orang awam juga boleh hadir ke Kaunter Biro Perkhidmatan di Mahkamah dan mendapatkan perkhidmatan untuk kaedah penyeteman Sijil Setem yang dijana secara elektronik sebagai bukti penyeteman. Sijil Setem ini perlu dikepilkan atau dilekatkan kepada Surat Kuasa Wakil yang berkaitan bagi membolehkan ianya dianggap telah disetemkan dengan sempurna.
Tatacara Pendaftaran Dokumen Surat Kuasa Wakil
- Secara amnya, setelah dokumen Surat Kuasa Wakil yang hendak didaftarkan memenuhi keperluan-keperluan seperti yang dinyatakan di atas, bagi Pemberi Kuasa atau Penerima Kuasa yang berdaftar dengan sistem aplikasi utama pihak Mahkamah boleh mendaftar dokumen tersebut secara dalam talian (online) di laman web rasmi Sistem e-Filing - Mahkamah Persekutuan Malaysia menurut ketetapan-ketetapan yang sedia ada.
- Bagi Pemberi Kuasa atau Penerima Kuasa yang merupakan orang awam pula boleh sendiri membawa dokumen Surat Kuasa Wakil asal miliknya dan hadir ke mana-mana Pejabat Pendaftaran Surat Kuasa Wakil di bawah Mahkamah Tinggi Malaya di seluruh Semenanjung Malaysia untuk mengemukakan permohonan pendaftaran.
- Pihak Pejabat tersebut akan membuat semakan terlebih dahulu dan setelah mendapati dokumen Surat Kuasa Wakil tersebut adalah teratur, Pemberi Kuasa atau Penerima Kuasa tersebut seterusnya boleh merujuk Kaunter Biro Perkhidmatan di Mahkamah untuk tujuan mendapatkan perkhidmatan mendaftarkan dokumen Surat Kuasa Wakil tersebut secara dalam talian (online). Sekiranya wujud keperluan, kaedah penyeteman Sijil Setem yang dijana secara elektronik sebagai bukti penyeteman tersebut boleh juga diproses di Kaunter tersebut.
- Selain itu, Pemberi Kuasa atau Penerima Kuasa boleh juga mendapatkan perkhidmatan Peguam yang beramal di Semenanjung Malaysia untuk menguruskan perihal pendaftaran bagi pihak mereka.
Pembatalan (Revocation) atau Penolakan (Renunciation) Surat Kuasa Wakil
- Menurut Akta 424, setiap Surat Kuasa Wakil yang telah didaftarkan di Mahkamah Tinggi Malaya hendaklah terus berkuatkuasa sehingga:
- Notis bertulis tentang pembatalannya diterima oleh Mahkamah daripada Pemberi Kuasa (dikenali sebagai “Notis Pembatalan”);
- Notis bertulis tentang penolakannya diterima oleh Mahkamah daripada Penerima Kuasa (dikenali sebagai “Notis Penolakan”);
- Pemberi atau Penerima Kuasa meninggal dunia;
- Penerima Kuasa menjadi tidak sempurna akal;
- Pemberi Kuasa telah diisytiharkan sebagai tidak sempurna akal; atau
- Pemberi Kuasa diisytiharkan bankrap.
- Sebelum apa-apa tindakan lanjut diambil, adalah penting untuk menentukan sama ada Surat Kuasa Wakil berkenaan yang didaftarkan di Mahkamah Tinggi Malaya adalah sebelum 15 Ogos 2018 atau selepas tarikh tersebut.
- Melainkan sebaliknya, bagi mana-mana Surat Kuasa Wakil yang didaftarkan sebelum 15 Ogos 2018, pembatalan atau penolakan kuasa wakil yang diberikan adalah dengan memfailkan secara manual satu notis bertulis bercetak bersama salinan asal bercetak Surat Kuasa Wakil yang hendak dibatalkan di Pejabat Pendaftaran Surat Kuasa Wakil di bawah Mahkamah Tinggi Malaya di mana Surat Kuasa Wakil tersebut didaftarkan. Contohnya, jika Surat Kuasa Wakil yang berkaitan adalah didaftarkan di Mahkamah Tinggi Malaya di Kuala Lumpur, maka Notis Pembatalan atau Notis Penolakan hendaklah difailkan di Mahkamah Tinggi Malaya di Kuala Lumpur.
- Sebaliknya, bagi mana-mana Surat Kuasa Wakil yang didaftarkan selepas 15 Ogos 2018, pembatalan atau penolakan kuasa wakil yang diberikan adalah melalui pemfailan notis bertulis secara dalam talian (online) menurut nombor pendaftaran Surat Kuasa Wakil yang diperuntukkan semasa ia didaftarkan secara dalam talian (online).
- Adalah penting untuk pihak-pihak yang terlibat memastikan notis bertulis yang berkenaan menyatakan dengan jelas dan terang di dalam klausa berkenaan bahawa Pemberi Kuasa membatalkan kuasa wakil yang diberikan kepada Penerima Kuasa (atau sebaliknya, Penerima Kuasa menolak kuasa wakil yang diberikan oleh Pemberi Kuasa) melalui Surat Kuasa Wakil yang didaftarkan atas nombor pendaftaran (tanpa jarak di antara setiap huruf, angka dan simbol), tarikh pendaftaran dan nama lengkap Mahkamah Tinggi Malaya di mana ia didaftarkan. Sebagai contoh, Mahkamah Tinggi Malaya di Kuala Lumpur (atau Mahkamah Tinggi Malaya, Kuala Lumpur). Turut penting ialah notis bertulis yang berkenaan hendaklah disetemkan dengan sempurna sepertimana dinyatakan di Soalan Lazim bertajuk “Apakah Surat Kuasa Wakil Perlu Disetemkan Sebelum Pendaftaran?” di atas.
- Selain daripada yang dinyatakan di atas, bagi pembatalan (atau penolakan) Kuasa Wakil Boleh Batal, adalah penting untuk memastikan notis bertulis yang berkenaan dipersetujui dan ditandangani oleh Pemberi Kuasa atau Penerima Kuasa. Manakala bagi pembatalan Kuasa Wakil Tidak Boleh Batal pula, adalah penting untuk memastikan Notis Pembatalan menyatakan dengan jelas dan terang di dalam klausa berkenaan bahawa Penerima Kuasa bersetuju dengan pembatalan kuasa wakil yang dibuat dan ditandatangani oleh kedua-dua pihak Pemberi Kuasa dan Penerima Kuasa.
- Bagi tujuan pendaftaran notis bertulis secara manual, Pemberi Kuasa atau Penerima Kuasa boleh hadir ke di Pejabat Pendaftaran Surat Kuasa Wakil di bawah Mahkamah Tinggi Malaya di mana Surat Kuasa Wakil tersebut didaftarkan untuk tindakan lanjut.
- Bagi tujuan pendaftaran notis bertulis secara dalam talian (online), pihak-pihak yang berkenaan boleh merujuk pencerahan di bawah Soalan Lazim bertajuk: “Tatacara Pendaftaran Dokumen Surat Kuasa Wakil” di atas.
Pembayaran bagi Pendaftaran Dokumen Surat Kuasa Wakil dan Pendaftaran Notis Pembatalan (atau Notis Penolakan) Surat Kuasa Wakil adalah seperti berikut:
- Bagi pendaftaran dokumen Surat Kuasa Wakil, bayaran yang dikenakan adalah: -
- Pendaftaran sebanyak RM25;
- Deposit sebanyak RM10; dan
- Setiap helaian sebanyak RM2.
- Bagi pendaftaran notis pembatalan (atau notis penolakan) Surat Kuasa Wakil secara manual, bayaran yang dikenakan adalah: -
- Pendaftaran sebanyak RM10; dan
- Setiap helaian bercetak sebanyak RM2.
- Bagi pendaftaran notis pembatalan (atau notis penolakan) Surat Kuasa Wakil secara dalam talian (online), bayaran yang dikenakan adalah: -
- Pendaftaran sebanyak RM10; dan
- Setiap helaian sebanyak RM2.
Ciri-Ciri Keselamatan Dokumen yang Telah Difailkan di Mahkamah di Semenanjung Malaysia
- Setiap dokumen Surat Kuasa Wakil dan dokumen Notis Pembatalan (atau Notis Penolakan) Surat Kuasa Wakil yang telah didaftarkan dengan Mahkamah Tinggi Malaya secara dalam talian (online) akan dipaparkan dengan kod QR di bahagian bawah setiap helaian dokumen tersebut. Kod QR tersebut memainkan peranan penting untuk memberi pengesahan terhadap ketulenan dokumen Mahkamah dengan selamat, mudah dan pantas serta percuma.
- Mana-mana pengguna hanya perlu mengimbas kod QR yang dipaparkan dengan menggunakan peranti elektronik yang mempunyai fungsi imbasan, contohnya telefon pintar yang dilengkapi dengan kebolehan pengimbas kod QR. Hasil imbasan akan membawa pengguna ke pautan rasmi: https://ecourt.kehakiman.gov.my/ dan seterusnya pengguna boleh mengikuti langkah-langkah seterusnya sebagaimana yang dipaparkan dalam pautan tersebut.
- Ciri-ciri keselamatan dokumen Mahkamah merupakan inisiatif Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia (“PKPMP”) menjana inovasi untuk membolehkan semua pihak termasuk orang awam membuat pengesahan ketulenan dokumen Mahkamah dengan selamat, mudah dan pantas serta percuma.
- Untuk maklumat lebih lanjut, sila layari portal rasmi PKPMP di pautan: https://www.kehakiman.gov.my/ms/sistem-imbasan-kod-qr-bagi-pengesahan-ketulenan-dokumen-mahkamah-di-semenanjung-malaysia.
Pengecualian
- Maklumat di atas hanyalah maklumat secara am mengenai Surat Kuasa Wakil dan cara pendaftaran serta pembatalan (atau penolakan) seperti yang digambarkan di atas adalah secara ringkas serta tertakluk kepada pindaan Akta 424 serta peraturan-peraturan yang berkuatkuasa dari semasa ke semasa.
Persediaan Untuk Perbicaraan Di Mahkamah Rendah
- Apakah itu perbicaraan?
- Perbicaraan ialah satu proses pengumpulan fakta sebelum sesuatu keputusan dibuat oleh Majistret atau hakim.
- Apa itu tuntutan sivil?
- Tuntutan sivil adalah pertikaian di antara dua atau lebih pihak yang melibatkan isu perundangan.
- Contoh tuntutan sivil:
- Gantirugi untuk kecederaan diri
- Kemalangan jalanraya
- Pelanggaraan kontrak
- Pertikaian mengenai harta
- Pertikaian di antara tuan tanah dan penyewa
- Adakah saya boleh mewakili diri sendiri tanpa peguam?
- Ya, setiap orang mempunyai hak untuk mewakili diri sendiri di mahkamah.
- Kerumitan isu-isu khusus dan risiko yang ada perlu dipertimbangkan jika anda ingin meneruskan kes tanpa peguam.
- Sekiranya anda mengalami kesukaran apabila mewakili diri sendiri ketika kes sedang berjalan, anda masih mempunyai pilihan untuk melantik peguam.
- Walaubagaimanapun, bagi nilai tuntutan berjumlah di bawah RM5000 (Kes Tuntutan Kecil), anda diwajibkan mewakili diri sendiri.
- Badan-badan korporat hanya boleh memulakan atau membela diri dalam tindakan sivil melalui peguam.
- Kenal pasti dan ketahui undang-undang dan prosedur yang terpakai kepada kes.
- Patuhi tempoh masa untuk pemfailan dan penyerahan dokumen.
- Sentiasa bersedia untuk perbicaraan.
- (4) Di mana saya hendak memfailkan tuntutan sivil?
- Tuntutan hendaklah difailkan di pejabat pendaftaran mahkamah yang berkaitan. Jumlah fi tertentu hendaklah dibayar.
- Apakah tindakan saya yang seterusnya?
- Setelah tuntutan difailkan, anda perlu menyerahkannya kepada pihak yang satu lagi dalam tempoh masa yang ditetapkan.
Sebelum Perbicaraan
Pihak-pihak hendaklah memfailkan ikatan dokumen dan ikatan pliding yang mengandungi penyataan tuntutan, penyataan pembelaan, tuntutan balas (jika ada) dan jawapan.
Pihak-pihak hendaklah saling bertukar ikatan dokumen tersebut sekurang-kurangnya 14 hari sebelum perbicaraan.
Semasa Perbicaraan
Apakah yang berlaku semasa perbicaraan?
- Plaintif - Pihak menuntut
- Defendan - Pihak dituntut
- Plaintif mesti membuktikan tuntutannyaterhadap Defendan.
- Plaintif akan memanggil saksi untuk memberi keterangan semasa pemeriksaan utama2. Saksi ini akan disoal dalam pemeriksaan balas3 oleh Defendan dan kemudiannya akan disoal semula oleh Plaintif di dalam pemeriksaan semula4.
- Defendan pula kaan memanggil saksinya. Defendan perlu menimbulkan dan membuktikan pembelaan terhadap apa yang dituntut oleh Plaintif.
- Selepas kedua-dua belah pihak menutup kes masing-masing, hujahan5 akan diberikan.
Selepas Perbicaraan
Selepas pihak-pihak menggulung kes masing-masing, di akhir perbicaraan keputusan akan diberikan.
Apakah itu keputusan?
Keputusan adalah penghakiman atau perintah mahkamah. Ia akan diberikan serta-merta selepas penutupan perbicaraan ataupun pada hari yang lain. Jika diberikan pada hari lain, pihak-pihak akan dimaklumkan untuk hadir pada tarikh tersebut.
Apa akan berlaku jika salah satu pihak tidak melaksanakan keputusan mahkamah?
Perintah pelaksanaan hendaklah dipohon oleh pihak yang terkilan.
Bagaimana jika saya tidak berpuas hati dengan penghakiman?
Rayuan boleh difailkan. Bagi rayuan ke Mahkamah Tinggi, Notis Rayuan mesti difailkan dalam tempoh 14 hari dari tarikh penghakiman diberikan di pejabat pendaftaran mahkamah di mana keputusan tersebut dibuat.
- Semua dokumen yang hendak dirujuk semasa perbicaraan seperti laporan polis, laporan perubatan dan gambar-gambar yang dikumpulkan dalam satu ikatan.
- Pemeriksaan seseorang saksi oleh pihak yang memanggilnya.
- Pemeriksaan seseorang saksi oleh pihak lawan.
- Jika seseorang saksi telah diperiksa balas dan kemudiannya diperiksa oleh pihak yang telah memanggilnya.
- Kesimpulan bagi semua keterangan dan hujah-hujah pihak-pihak di akhir perbicaraan.
- Terdapat 4 lapisan gred jawatan bagi Kumpulan Pengurusan Tertinggi iaitu :
- Turus/Khas Turus
- JUSA A/Khas A
- JUSA B/Khas B
- JUSA C/Khas C
- Bidang jawatan Kumpulan Pengurusan dan Profesional (P&P) ini dapat diklasifikasikan seperti berikut :
- Strategik
- Merangkumi bidang Perancangan, Dasar dan Penyelidikan
- Pengurusan dan Operasi
- Merangkumi bidang Operasi, Khidmat Pengurusan dan Fungsi Sokongan
- Pakar Dengan Kelayakan (PK)
- Bagi Skim Perkhidmatan Pegawai Perubatan dan Pegawai Pergigian
- Pakar Bidang Khusus (PBK)
- Bagi mengiktiraf Kepakaran Khusus Individu (rate for the person)
- Strategik
- Perkhidmatan Awam Kejat di bawah SBPA
- Perkhidmatan Awam Kejat adalah penyesuaian saiz dan penggunaan sumber manusia yang optimum bagi mewujudkan perkhidmatan awam yang berprestasi tinggi. Ia bertujuan menggemblengkan tenaga kerja sedia ada melalui penjajaran semula fungsi agensi yang bertindih, pengawalan pengisian jawatan-jawatan kosong dan pewujudan jawatan baharu serta pengagihan semula perjawatan ke agensi yang lebih memerlukan.
- Mengapa perkhidmatan Puan Lim tidak diambil kira dalam pengiraan tempoh untuk pencen berbanding dengan Puan Aishah dan Encik Muthu
- Merujuk kepada slide presentation yang telah dibentangkan oleh YBhg Dato Yeow Chin Kiong, perkhidmatan Puan Lim tidak boleh diambil kira kerana beliau tidak dilantik semula pada atau selepas 1.1.2012. Manakala Puan Aishah dan Encik Muthu telah dilantik semula selepas 1.1.2012. Ini kerana dasar kebolehalihan bagi mengambil kira tempoh perkhidmatan lepas yang terputus tanpa pelepasan dengan izin atau kerana diselangi dengan tempoh perkhidmatan selain sektor awam, pegawai tersebut dilantik semula pada atau selepas 1.1.2012.
- Berkenaan dengan pelantikan semula pegawai ke dalam perkhidmatan awam setelah berkhidmat dalam sektor swasta atau bersara, pelantikan serta syarat-syarat pelantikan adalah tertakluk kepada ketetapan Pihak Berkuasa Melantik yang berkenaan. Bagi kes pelantikan semula yang melibatkan pegawai yang telah bersara, pencen beliau boleh digantung sepanjang tempoh beliau dilantik semula sebagai seorang pegawai tetap di bawah seksyen 23, Akta Pencen 1980 (Akta 227)
- Adakah jika di dalam borang opsyen dinyatakan gaji pada 1/4/2012 bermaksud kenaikan gaji hanya akan bermula pada April? Maka, gaji sebelum ini masih kekal sehinggalah April?
- Pemindahan gaji ke SBPA (bagi yang bersetuju memilih SBPA) akan akan berkuatkuasa pada 1.1.2012. Maka, setiap pegawai/kakitangan yang memilih SBPA akan menerima gaji SBPA pada tarikh berkenaan. Tarikh Pergerakan Gaji (TPG) baru yang dinyatakan dalam borang opsyen merupakan TPG puan selepas berkuatkuasa SBPA. Oleh yang demikian, puan akan menerima pergerakan gaji pada setiap tahun pada 1 April. Ini bermakna, puan akan menerima gaji SBPA pada 1.1.2012 dan sekali lagi menerima pergerakan gaji pada tangga gaji berikutnya pada 1 April 2012.