
YANG AMAT ARIF
DATUK SERI UTAMA WAN AHMAD FARID BIN WAN SALLEH
KETUA HAKIM NEGARA
YAA Datuk Seri Utama Wan Ahmad Farid bin Wan Salleh dilahirkan di Kuala Terengganu, Terengganu pada 13 November 1962. YAA Datuk Seri Utama telah memperolehi Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) dari Universiti of West London pada tahun 1985 dan Sijil Amalan Guaman pada tahun 1986.
YAA Datuk Seri Utama mempunyai latar belakang istimewa dan unik di mana beliau telah berkhidmat di dalam ketiga-tiga cabang kerajaan. Beliau merupakan ahli Dewan Negara pada tahun 2005 dan berkhidmat sebagai Timbalan Menteri pada tahun 2008 sebelum menyertai Badan Kehakiman pada tahun 2015. Semasa YAA Datuk Seri Utama berkhidmat sebagai setiausaha politik kepada YAB Tun Abdullah bin Badawi, mantan Perdana Menteri Malaysia, beliau merupakan sebahagian daripada pasukan yang bertindak menasihati kerajaan di dalam usaha untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960. Akta tersebut kemudiannya telah dimansuhkan pada tahun 2012.
YAA Datuk Seri Utama telah diterima masuk menjadi peguambela dan peguamcara pada 6 September 1987. YAA Datuk Seri Utama adalah merupakan seorang peguam yang beramal di Terengganu dan Kuala Lumpur sebelum dilantik menyertai Badan Kehakiman. Beliau memulakan kerjaya di dalam Badan Kehakiman sebagai Pesuruhjaya Kehakiman pada 16 Disember 2015 dan dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi pada 8 Ogos 2019. Beliau seterusnya dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan pada 12 November 2024 dan kemudiannya dilantik sebagai Ketua Hakim Negara Malaysia pada 28 Julai 2025.
YAA Datuk Seri Utama telah dianugerahkan Pingat Dato’ Paduka Mahkota Terengganu (D.P.M.T) pada tahun 1996 yang membawa gelaran Dato’. Pada tahun 2025, YAA Datuk Seri Utama telah dianugerahkan Pingat Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (S.P.S.K) yang juga membawa gelaran Dato’. Pada tahun yang sama juga, beliau dianugerahkan dengan Pingat Datuk Seri Utama Negeri Melaka (D.U.N.M) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama.