
YANG AMAT ARIF
DATUK HAJAH AZIZAH BINTI HAJI NAWAWI
HAKIM BESAR SABAH DAN SARAWAK
YAA Datuk Hajah Azizah binti Haji Nawawi telah dilahirkan pada 9 Januari 1962 di Sibu, Sarawak. Yang Amat Arif memperoleh Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Otago, New Zealand pada tahun 1986. Pada tahun yang sama, Yang Amat Arif telah diterima masuk sebagai Peguambela & Peguamcara Mahkamah Tinggi New Zealand dan, pada tahun 1987, sebagai Peguambela & Peguamcara Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak.
Yang Amat Arif memulakan kerjaya guamannya dalam sektor swasta sebagai Peguambela & Peguamcara di Tetuan Daud Ismail & Co. di Limbang, Sarawak. Yang Amat Arif kemudiannya menyertai Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan Malaysia. Sepanjang perkhidmatan ini Yang Amat Arif menyandang pelbagai jawatan termasuk Majistret di Mahkamah Majistret Kuching, Miri, serta Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi di Kuching.
Di Jabatan Peguam Negara, Yang Amat Arif telah berkhidmat dengan cemerlang menerusi pelbagai portfolio penting, antaranya sebagai Peguam Kanan Persekutuan di Jabatan Perikanan, Ketua Unit Perlembagaan dan Undang-Undang Pentadbiran, Timbalan Ketua Bahagian Guaman I dan II, serta Ketua Bahagian Guaman.
Kerjaya Yang Amat Arif di bangku kehakiman bermula dengan pelantikan sebagai Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Malaya di Kuala Lumpur pada 1 November 2012. Yang Amat Arif kemudiannya dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Malaya pada 12 September 2014, berkhidmat di Kuala Lumpur dan Shah Alam.
Pada 8 Ogos 2019, Yang Amat Arif telah dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan Malaysia. Pada 28 Julai 2025 Yang Amat Arif telah mengangkat sumpah sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan dan seterusnya dilantik sebagai Hakim Besar Sabah dan Sarawak. Pelantikan ini menjadikan Yang Amat Arif wanita pertama yang memegang jawatan tersebut.
Sebagai penghargaan atas jasa dan bakti yang dicurahkan, Yang Amat Arif telah dikurniakan darjah kebesaran Panglima Mahkota Wilayah (P.M.W.) yang membawa gelaran “Datuk” oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 1 Februari 2018. Yang Amat Arif juga merupakan penerima darjah Kesatria Mangku Negara (K.M.N).
Yang Amat Arif telah mendirikan rumah tangga dengan YBhg. Dato’ Setia Haji Nik Suhaimi bin Nik Sulaiman dan dikurniakan tiga orang cahaya mata lelaki.