
YANG AMAT ARIF
DATUK SERI ABU BAKAR BIN JAIS
PRESIDEN MAHKAMAH RAYUAN
YAA Datuk Seri Abu Bakar bin Jais dilahirkan pada 27 Jun 1962 di Muar, Johor. YAA merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) dari Universiti Malaya pada tahun 1986. YAA juga telah memperolehi Sijil Government Legal Advisers Course dari University of London pada tahun 1996.
Kerjaya YAA dalam bidang perundangan bermula sebagai tutor di Fakulti Undang-Undang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada tahun 1986 hingga 1987. YAA kemudiannya menyertai perkhidmatan awam sebagai Timbalan Pendakwa Raya di Jabatan Peguam Negara dari tahun 1987 hingga 1990, sebelum dilantik sebagai Majistret di Mahkamah Majistret Ipoh pada tahun 1990.
Pada tahun 1991 hingga 1992, YAA telah berkhidmat sebagai Penolong Pengarah di Biro Bantuan Guaman dan seterusnya sebagai Timbalan Pendakwa Raya di Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Negeri Melaka. YAA juga pernah berkhidmat sebagai Peguam Persekutuan dan Peguam Kanan Persekutuan di Bahagian Guaman, Jabatan Peguam Negara dari tahun 1992 hingga 2000.
YAA juga kemudiannya menceburi sektor swasta dan berkhidmat sebagai rakan kongsi di beberapa firma guaman terkemuka negara termasuk Tetuan Zaid Ibrahim & Co dari tahun 2001 hingga 2003 dan Tetuan Hisham, Sobri & Kadir dari tahun 2004 hingga 2013.
Pada 8 Julai 2013, YAA telah dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman di Bahagian Dagang, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Kemudian, YAA telah dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi, di Bahagian Dagang dan seterusnya Bahagian Sivil Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dari tahun 2016 hingga 2017. YAA juga pernah berkhidmat sebagai Hakim Mahkamah Tinggi di Seremban dari tahun 2017 hingga 2018 dan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dari tahun 2018 hingga 2019.
Pada 2 Disember 2019, YAA telah dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan, dan kemudiannya dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan pada 13 Jun 2023. Kemuncak kerjaya kehakiman YAA dilakar pada 28 Julai 2025, apabila YAA secara rasmi dilantik sebagai Presiden Mahkamah Rayuan Malaysia.
Sebagai menghargai sumbangan YAA kepada negara, YAA telah dikurniakan Darjah Ahli Mangku Negara (A.M.N) oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada tahun 1998. Pada 14 Januari 2018, YAA turut menerima Darjah Dato’ Paduka Negeri Sembilan (D.P.N.S.), sempena sambutan Ulang Tahun Keputeraan ke-70 Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir. YAA telah mendirikan rumah tangga dengan YBhg. Datin Rusidah binti Muhammad dan hasil perkongsian hidup, mereka telah dikurniakan seorang anak.