Skip to main content

Mahkamah Tinggi

Di bawah Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948, Mahkamah Agung telah ditubuhkan dan terdiri daripada Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

Mahkamah Agung kemudiannya telah digantikan dengan Mahkamah Persekutuan dan tiga Mahkamah Tinggi iaitu Mahkamah Tinggi di Malaya, Mahkamah Tinggi Singapura dan Mahkamah Tinggi di Borneo. Pada tahun 1965, Mahkamah Tinggi hanya terdiri daripada Mahkamah Tinggi di Malaya dan Mahkamah Tinggi di Borneo.

Mahkamah Tinggi di Malaya dan Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak masing-masing dipengerusikan oleh Ketua Hakim Mahkamah masing-masing. Kemudian, gelaran tersebut ditukarkan kepada Hakim Besar menerusi pindaan yang dibuat kepada Perlembagaan Persekutuan. Pada mulanya, Mahkamah Tinggi di Malaya terdiri daripada Ketua Hakim (sekarang Hakim Besar Malaya) dan mempunyai sekurang-kurangnya 4 dan tidak lebih daripada 12 orang Hakim Mahkamah Tinggi. Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak pula terdiri daripada Ketua Hakim (sekarang Hakim Besar Sabah dan Sarawak) dan mempunyai sekurang-kurangnya 4 dan tidak lebih daripada 8 orang Hakim Mahkamah Tinggi.

Mengikut peruntukan Perkara 122AA Perlembagaan Persekutuan, bilangan maksimum terkini bagi Hakim Mahkamah Tinggi di Malaya ialah 60 manakala Hakim Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak ialah 13.